• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Rumah 'Tok Nab' Reput Dimakan Anai-anai


Oleh: Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 20 Februari - Seorang warga emas, Zainab Musa, 78, yang tinggal di rumah reput dimakan anai-anai perlukan bantuan orang ramai bagi membaik pulih rumah beliau di Kampung Kumpal, Delong di sini.

Zainab atau Tok Nab yang menghidap pelbagai penyakit memohon agar rumahnya yang terlalu uzur segera dibaiki.

"Rumah tok ni, rosak teruk doh, anai-anai makan lantai, dinding dan kayu-kayu siling," cerita beliau yang tinggal bersendirian di kampung tersebut.

Beliau berkata demikian di program ziarah isteri Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rantau Abang, Rugayah Mahmood ke Delong di sini semalam.

Menurut Tok Nab, anak-anak beliau terutamanya yang tinggal bersebelahan rumah itu sentiasa mengambil berat dan cucu beliau akan datang menemaninya tidur di waktu malam.

"Tapi nak tolong baiki rumah ini memang mereka tidak mampu," ujarnya yang merupakan menerima sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Beliau yang sudah kematian suami itu juga mengalami masalah penglihatan selain menghidap darah tinggi dan sakit lutut.

Tok Nab dengan keuzuran yang ketara itu bimbang untuk menjalankan kehidupan seharian di rumah berkenaan kerana masalah tersebut.

" Yang tok paling bimbang masa berjalan dalam rumah sebab lantainya sudah banyak reput, makan di anai-anai, takut lantai runtuh," tambahnya.

Justeru, Rugayah mengharapkan orang ramai sudi membantu membaik pulih rumah berkenaan untuk keselesaan Tok Nab tinggal di situ.



Tag: