• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Rumah Usia Lebih 30 Tahun Hampir Runtuh

KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Keadaan sebuah rumah yang berusia lebih 30 tahun di Kampung Raja Chendering telah uzur dan hampir runtuh akibat dimakan anai-anai.

Pemiliknya, Che Ku Sanuwa Che Ku Man, 52, memaklumkan, keadaan lantai rumah tersebut yang rapuh telah mengancam keselamatan beliau sekeluarga.

Beliau yang bekerja sebagai tukang rumah pernah menerima bantuan tahunan sebanyak RM600 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu untuk menampung kos sara hidup.

Ahli Dewan Undagan Negeri (ADUN) Batu Burok, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi telah turun merasmikan gimik penyerahan rumah baharu untuk Che Ku Sanuwa hari ini.

Menurut beliau, kos bagi membaikpulih rumah yang uzur tersebut sangat tinggi dan hampir sama nilainya dengan pembinaan rumah yang baharu.

Oleh itu, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk telah membuat permohonan bagi membina rumah baharu untuk Che Ku Sanuwa.  

“Rumah merupakan keperluan asas bagi seseorang manusia walau di mana sekalipun mereka berada.

“Justeru, pihak kami terus berhubung dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan pihak Parlimen Kuala Terengganu untuk mempermudahkan kelulusan permohonan rumah baharu ini,” katanya.

Kos pembinaan rumah tersebut telah ditanggung oleh Kementerian Pembangungan Luar Bandar dan agensi Giat Mara yang telah mengambil perjalanan dalam membina rumah tersebut.

“Semoga pembinaan rumah baharu ini dapat menghilangkan kegusaran dan memberikan keselesaan kepada tuan rumah sekeluarga.

“Saya ucapkan terima kasih semua pihak dan agensi yang terlibat dalam pembinaan rumah ini,” tambahnya lagi.