RXZ Members 8.0: Polis Setiu Perketat Persediaan di Stesen Minyak
Ariss Alias
4 jam yang lepas
82
SETIU,27 Julai - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Setiu memperkukuh kerjasama dengan pengusaha stesen minyak di daerah itu sebagai persediaan menghadapi penganjuran RXZ Members 8.0, dengan memberi penekanan terhadap aspek keselamatan, kelancaran operasi dan bekalan bahan api.
Ketua Polis Daerah Setiu, Supt Zahril Asri Mohd Zain berkata pengusaha stesen minyak perlu memastikan jumlah petugas mencukupi, menyediakan laluan serta pam khas untuk peserta, memastikan motosikal dimatikan enjin ketika mengisi minyak dan sistem kamera litar tertutup (CCTV) sentiasa berfungsi dengan baik.

Selain itu, katanya, petugas stesen minyak perlu memahami prosedur tindakan kecemasan (GTSP), manakala nombor telefon pihak berkuasa hendaklah dipamerkan di lokasi yang mudah dilihat bagi memudahkan tindakan segera sekiranya berlaku insiden.
Beliau turut mengingatkan pengusaha supaya menyediakan buku lawatan polis bagi pemantauan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB), selain segera melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau jenayah kepada PDRM.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan sesi perjumpaan bersama 15 pengusaha yang mewakili 10 stesen minyak di Bilik Mesyuarat Utama, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu semalam.
