• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Sabasun Sumbang Barang Keperluan Buat Mangsa Banjir Pahang

KUALA TERENGGANU, 25 Disember – Melihat kesusahan dihadapi penduduk terkesan bencana banjir, Syarikat Sabasun Hyperuncit Sdn Bhd menyalurkan bantuan barangan harian kepada mangsa terjejas di Kuantan, Pahang.

Pengurus besarnya, Che Salmi Che Ibrahim berkata, menerusi cabang tanggungjawab sosial korporat (CSR), pihaknya bersama pejabat Ahli Parlimen Kuala Terengganu telah menghantar sumbangan berbentuk dua lori ke daerah tersebut.

“Antara bentuk sumbangan dihantar seperti makanan dan minuman harian yang telah disusun dan dibungkus, air mineral, lampin pakai buang, susu tepung dan lain-lain lagi.

“Terima kasih kepada pejabat Ahli Parlimen yang memberi peluang untuk turut sertai usaha ini.

“Setinggi-tinggi juga apresiasi kepada pelanggan Sabasun yang tidak putus-putus memberi bantuan dan kecaknaan kepada nasib ditimpa kepada saudara kita tidak kira dalam atau luar negara,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, pihaknya menerusi badan Khidmat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) menerima ketibaan barangan tersebut di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Pancing, pada 23 Disember.

“Markaz ini bagi atur gerak kerja pembersihan rumah mangsa-mangsa banjir khususnya di Paya Besar termasuk program agihan 2000 pek makanan menerusi Dapur Rakyat, termasuk sumbangan pada hari ini,” jelasnya.