• 24 Jun 2024 | 17 Zulhijah 1445

Saling Membantu, Perkukuh Hubungan Antara Negeri

KUALA TERENGGANU, 30 Disember - Kini giliran Terengganu pula menerima bantuan dari negeri-negeri yang pernah dibantu ketika berhadapan musibah yang sama sebelum ini, sekali gus memperkukuhkan hubungan antara Terengganu dengan negeri lain khususnya Selangor, Kedah serta Pahang.

Menteri Besar Terengganu, Dato'. Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia merupakan suatu perkara yang sangat baik dalam memastikan hubungan setiap negeri dalam negara ini berjalan dengan baik.

"Saya percaya hubungan baik ini sangat dinanti-nantikan oleh semua pihak, bantuan yang datang tidak hanya dalam bentuk kewangan tetapi telah ramai sukarelawan dari Selangor telah datang membantu termasuk negeri-negeri lain.

"Ketika Selangor dilanda musibah yang sama kita juga telah menghantar bantuan bersama sukalewan yang digerakkan untuk sama-sama menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mangsa-mangsa yang terlibat dengan bencana ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Sesi Simbolik Penyerahan Sumbangan Bantuan Bencana Banjir Kerajaan Negeri Selangor, di Kediaman Seri Iman, di sini hari ini.

Penyerahan bantuan RM500,000 itu telah disempurnakan sendiri oleh Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Amirudin Shari.

Sehubungan itu Ahmad Samsuri berkata, bantuan itu akan disalurkan terus dengan mengutamakan mangsa yang paling terjejas serta terkesan.

"Saya mengambil kesempatan pada pagi Jumaat yang mulia ini mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat (YAB) Menteri Besar Selangor, yang sudi bertanding ke negeri ini.

"Secara simboliknya telah menerima bantuan daripada Kerajaan Negeri Selangor kepada Terengganu bagi kegunaan membantu meringankan beban rakyat yang menghadapi musibah tersebut," ujarnya.

Dalam pada itu, Amirudin yakin bantuan berkenaan dapat membantu kerajaan Terengganu meringankan beban mereka yang terkesan ketika dilanda musibah berkenaan.

"Jadi ini adalah sebahagian daripada inisiatif kita lakukan serta (menyemarakkan) semangat kerjasama antara Kerajaan negeri sebagaimana yang berlaku tahun lepas di Selangor, Terengganu serta negeri-negeri lain datang membantu," ujarnya.

Tambah beliau, Selangor turut bersedia bagi mengerakkan sukarelawan jika berlaku bencana itu sekali lagi pada Januari ini.

"Kerana dijangkakan ada gelombang baru pada awal bulan tersebut, dengan persefahaman yang telah dibentuk antara pegawai-pegawai negeri dapat memudahkan kita untuk membantu penyelarasan jika ada keperluan nanti untuk sokongan dan mengerakkan sukarelawan dari Selangor ke negeri ini," ujarnya.