• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Saluran Aduan Khusus P-Hailing Diwujudkan

HULU TERENGGANU, 23 Oktober -  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mewujudkan saluran aduan khas mengenai perkhidmatan Penghantaran Makanan dan Bungkusan Bermotosikal (p-hailing) khusus untuk peniaga dan pengguna perkhidmatan tersebut.

Timbalan Menterinya, Dato Rosol Wahid berkata saluran itu  bertujuan membantu peniaga dan pengguna menyalurkan aduan bagi memudahkan kementerian mengenal pasti kes dan isu dibangkitkan untuk langkah selanjutnya.

"Pada tahun lepas, KPDNHEP menerima 1,933 aduan berhubung p-hailing dan sehingga Ogos 2021, 989 aduan yang sama telah diterima.

"Ada peniaga memberitahu bahawa apa yang mereka dapat (bayaran) bercanggah atau berkurangan daripada yang sepatutnya. Tetapi apabila  mereka (peniaga) mengadu kepada syarikat p-hailing yang berkenaan, syarikat tersebut mendakwa tersalah kira dan sebagainya.

"Dengan adanya platform aduan khas, peniaga dan pengguna boleh menyalurkan sebarang isu berbangkit berkaitan perkhidmatan berkenaan dengan lebih berfokus,"ujarnya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Jualan Koperasi Rakyat Felda Bukit Bading di Bangunan Koperasi Felda Bukit Bading, Ajil, hari ini.

Dalam masa yang sama, Rosol berkata kementerian juga menjalankan kajian penggunaan perkhidmatan p-hailing di kalangan peniaga dan vendor.

"Kajian tersebut bagi mendapatkan maklumat  sokongan bagi mencari kaedah penyelesaian terhadap isu- isu yang timbul dalam ekosistem p-hailing ini,"katanya.

Tambah beliau, peniaga, pengguna atau mana-mana pihak berkaitan kini boleh salurkan sebarang aduan berkaitan khidmat p-hailing menerusi adu.khidmatpenghantarmakanan@kpdnhep.gov.my.