• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Sambutan Hangat Kuliah Ustaz Azhar di Kemaman

Ustaz Azhar (kanan) menerima cenderahati dari Haji Hanafiah.
KEMAMAN, 11 November - Kuliah Dhuha Ustaz Azhar Idrus mendapat sambutan hangat dari penduduk daerah ini di Program Sayyidatina Aisyah di Padang Astaka di sini, pagi kelmarin.

Ustaz Azhar ketika berkuliah di Padang Astaka Kemaman.
Pendakwah sejuta ummah itu, seperti biasa menjawab pelbagai persoalan agama dengan huraian yang cukup mudah difahami, menggunakan dialek Terengganu.

Imam Muda Fakhrul menyampaikan kuliah Maghrib di Padang Astaka Kemaman. 
Kehadiran beliau antara acara awal bagi program julung-julung kali diadakan itu dengan inisiatif Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Haji Hanafiah Mat yang bertemakan, 'Wanita Sejahtera Bersama Islam'. 

Ia diikuti dengan ucapan aluan-aluan dari Haji Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai dan ucapan perasmian oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Haji Yahaya Ali.

Pertandingan Masakan di kalangan muslimat di Program Sayyidatina Aisyah.
Pengunjung di program tersebut bukan sahaja datang dari daerah itu bahkan mereka juga datang dari sekitar Kuantan, Pahang dan Kuala Terengganu. 

Program itu turut diserikan dengan Forum 'Bicara Wanita Berkerjaya' disertai oleh panelis seperti Setiausaha Persatuan Isteri-isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa'), Hajah Zarani Othman, seorang pendidik,  Nurzila Muhammad dan Presiden Gerakan Serikandi Malaysia,  Asyima Zainuddin.

Turut diadakan pertandingan mewarna di kalangan kanak-kanak. 
Perbahasan forum itu berkisar peranan wanita sebagai golongan berkerjaya dan bagaimana mereka mengatasi isu LGBT, keganasan rumah tangga,  judi dan maksiat. 

Turut diadakan, cabutan bertuah berupa basikal dan pelbagai hadiah lain yang ditaja oleh beberapa syarikat bumiputera. 

Busking, antara hiburan di pentas Program Sayyidatina Aisyah..
Seramai kira-kira 210 kanak-kanak berumur tujuh tahun ke bawah menyertai pertandingan mewarna di samping pertandingan memasak di kalangan warga dewasa daerah Kemaman dan pertandingan Busana Cilik di kalangan kanak-kanak perempuan. 

Turut diadakan, booth pemeriksaan mata,  pameran bomba dan penyelamat,  Tabung Haji,  Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)  dan lain-lain.

Manakala, Kuliah Maghrib disampaikan oleh Imam Muda Fakhrul serta busking dan wayang kulit oleh Wok Yoh dari Kelantan. 

Tag: