• 18 Mei 2024 | 10 Zulkaedah 1445

Sambutan Hari Kebangsaan Di Terengganu Meriah, Penuh Semangat Patriotik

Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Mua'az melakukan tabik hormat kepada pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
KUALA TERENGGANU, 31 Ogos - Rakyat pelbagai kaum dan usia membanjiri Dataran Batu Burok di sini, hari ini bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2019 Peringkat negeri Terengganu yang diraikan dengan penuh semangat patriotik.

Sebahagian pengunjung termasuk yang datang bersama keluarga seawal jam 7 pagi tadi, menggayakan busana bercorak Jalur Gemilang, serta mengibarkan bendera Malaysia dengan bersemangat.

Tidak kurang juga ramai di antara mereka yang memenuhi setiap ruang di laluan perarakan bagi menyaksikan dengan lebih dekat acara bersejarah itu.

Yang DiPertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan turut berangkat menyaksikan sambutan dan berkenan menyampaikan hadiah kepada peserta pertandingan perarakan serta perbarisan.

Baginda tiba di Pentas Diraja kira-kira jam 9.30 pagi bagi menyaksikan perarakan kontinjen melintas Pentas DiRaja dan mempersembahkan ‘Hormat DiRaja’ selain persembahan sempena hari bersejarah itu.
Kaum Cina turut serta dalam perarakan sebagai menjiwai semangat kemerdekaan.
Turut mengiringi ialah adinda-adinda baginda, Tengku Muhammad Mua’az Sultan Mizan dan Tengku Fatimuz Zahra’ Sultan Mizan yang disambut oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Perarakan sejauh 2.8 kilometer disertai seramai 4,165 orang daripada 123 pasukan bermula dari Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah melalui Jalan Sultan Sulaiman, Bulatan Batu Bersurat, hadapan Hospital Sultanah Nur Zahirah, simpang Batu Burok dan berakhir di Dataran Batu Buruk.

Perarakan tahun ini turut digimikkan oleh perarakan beca yang akan dinaiki oleh barisan tertinggi pentadbiran negeri Terengganu.

Usai perarakan, lebih 5,000 orang ramai yang hadir menyertai sambutan dihidangkan dengan persembahan silat gayung, sketsa ‘liku-liku mencapai kemerdekaan’, nyanyian lagu patriotik dan seni pertahanan diri dari pasukan polis.

Mengakhiri acara, lebih RM77,500 hadiah disampaikan kepada pasukan yang bertanding dengan johan setiap kategori layak menerima wang tunai RM4,000 beserta piala pusingan, naib johan, RM3,000 dan piala pusingan, serta tempat ketiga layak membawa pulang RM2,000 dan piala pusingan.
Sketsa kemerdekaan yang menyentuh hadirin.
Manakala juara keseluruhan Perarakan Merdeka yang dimenangi oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) membawa pulang wang tunai RM5,000 beserta piala pusingan.







Tag: