• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Sambutan Hari Ozon Tingkat Kesedaran Masyarakat

KUALA NERUS, 20 September - Sambutan Ozon Sedunia pada 16 September mampu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penjagaan lapisan ozon yang memberi impak kepada kehidupan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Dato' Dr Alias Razak berkata, kesedaran kalangan masyarakat sangat penting kerana perubahan iklim yang berlaku mengakibatkan pemanasan global.

"Akibat daripada itu telah berlaku pencairan ais di kutub utara dan paras air laut semakin meningkat serta dijangka beberapa bandar di dunia ini akan tenggelam pada masa akan datang antaranya Jakarta.

"Manakala perkara yang akan berlaku dalam negara kita pula pada ini paras air telah berlaku peningkatan sehingga air laut walaupun kuantitnya sedikit telah masuk ke dalam sungai menyebabkan air minuman kita terjejas.

"Selain itu juga cahaya violet akan lebih besar memancar ke bumi dan akan menyebabkan suhu menjadi panas serta mendatangkan penyakit," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Sambutan Hari Ozon Sedunia 2022 dan Majlis Penganugerahan Sekolah Lestari Peringkat Terengganu, di Dewan Cenderawasih, Pejabat Daerah Kuala Nerus semalam.

Katanya, dengan situasi yang berlaku pada masa kini penting untuk masyarakat memiliki kesedaran dan pengetahuan tentang menjaga lapisan ozon dengan mengurangkan penggunaan bahan-bahan kimia.

"Kerana terdapat beberapa bahan yang selalu kita gunakan sama ada dalam kenderaan ataupun penghawa dingin antaranya 'chlorofluorocarbon' (CFC) dan berbagai bahan lagi yang boleh menyebabkan penipisan ozon.

"Tindakan sewajarnya perlu dilakukan untuk mengurangkan penipisan ozon, kerana itu kita buat pertandingan Sekolah Lestari Alam Sekitar ini yang membabitkan enam sekolah menengah dan sembilan sekolah rendah seluruh Terengganu, untuk memberikan kesedaran pada peringkat awal usia mengenai perkara ini," ujarnya lagi.

 


Tag: