• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Sambutan Luar Biasa Harimau Malaya di Terengganu

KUALA NERUS, 15 Jun – Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, Terengganu menerima sambutan luar biasa oleh peminat pasukan Harimau Malaya di sini.

Seramai 12,265 orang penyokong hadir menyaksikan Perlawanan Antarabangsa Tier 1, Malaysia melawan Kepulauan Solomon di SSMZA, malam tadi.

Kebanyakan penyokong dilihat mula membanjiri perkarangan gelanggang itu sekitar jam 5 petang semalam.

Berdepan Kepulauan Solomon yang kini menghuni tangga ke-134 dunia, skuad kendalian Kim Pan Gon tidak berdepan masalah untuk mendominasi permainan sejak wisel permainan dibunyikan.

Skuad Harimau Malaya mempamerkan aksi positif selepas berjaya mencatatkan kemenangan 4-1 ke atas Kepulauan Solomon dalam aksi persahabatan antarabangsa itu.

Di samping itu, kehadiran Ultras Malaya menggamatkan suasana di perkarangan SSMZA, malam tadi.

Ultras Malaya yang dianggap nadi penting skuad Harimau Malaya menyanyikan lagu pembakar semangat buat pasukan negara sepanjang perlawanan berlangsung.

Sementara itu, Malaysia akan berdepan Papua New Guinea dalam satu lagi aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di sini, Selasa depan.

 

 

 

 

 


Tag: