• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Sambutan Tahun Baharu Terengganu Sarat Dengan Aktiviti Agama

KUALA TERENGGANU, 1 Januari – Sambutan Ambang Tahun Baharu 2021 di negeri ini semalam sarat dengan pelbagai program keagamaan.

Ia termasuk dengan program utama iaitu sambutan secara dalam talian atau Pentas Online 'Ambang Tahun Baharu 2021 Terengganu' yang diadakan di markas Tarbiah, Kuala Ibai.

Keraian melalui saluran Facebook dan YouTube Tv Darul Iman itu diisi dengan forum santai beberapa Exco Kerajaan Negeri, Pengarah Jabatan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pendakwah bebas.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah yang menjadi ahli panel forum berkata, sambutan tahun baharu menjadi kelaziman kerana digemari oleh masyarakat khususnya orang muda.

"Program-program tahun baharu pada masa kini banyak menjurus kepada hiburan dan unsur-unsur yang melalaikan.

"Justeru, kerajaan negeri mengambil satu alternatif untuk membuat program sebegini, khususnya buat orang muda.

"Dengan harapan supaya ambang tahun dapat diisi dengan nilai positif kepada rakyat, pertama kita boleh insafi perkara yang dialami tahun sebelumnya dan kita muhasabah supaya memperbaiki kelemahan untuk tahun hadapan," katanya dalam forum tersebut.

Turut hadir dalam panel tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah, ADUN Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Pendakwah Bebas, Syed Mohd Bakri Syed Ishak atau PU Syed.

Hadir sama, Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said Pengarah Urus Setia Belia Sukan Negeri Terengganu (UBSNT), Mohd Nasir Abd Razak, dan Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu, Wan Nur Sakinah Wan Din.

Program Ambang Tahun Baharu 2021 bermula pada 8.15 malam turut dibintangi dengan persembahan nasyid oleh Abu Hurairah Band dan Ustaz Ahmad Muzani Abd Rahman.

Serentak dengan program itu juga, aktiviti 'Street Dakwah' turut diadakan di seluruh negeri.

Di Daerah Kuala Terengganu, dakwah jalanan itu dijayakan di Pasarnita dan perkarangan 'Foodtruck' di sekitar Jambatan Angkat bermula jam 10.00 malam.

Program anjurah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) tersebut mengfokuskan aktiviti edaran risalah bagi mendidik masyarakat di kawasan tumpuan belia.

Manakala 'Operasi Cegah Maksiat Ambang Tahun Baru' juga dikuatkuasakan di sekitar negeri.