• 07 Okt 2024 | 04 Rabiul Akhir 1446

Sampah di Pantai Batu Buruk Sedang Dibersihkan - MBKT

KUALA TERENGGANU, 29 Disember – Sampah yang mencemari Pantai Batu Buruk pasca banjir sedang dalam proses pembersihan, ujar Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT).

Datuk Bandar, Datuk Rosli Latif berkata sampah itu terjadi akibat fenomena air pasang besar luar biasa baru-baru ini.

Katanya, beberapa hari lepas pihak MBKT telah turun padang untuk memantau dan membersihkan sampah-sampah yang dihanyutkan di pantai tersebut.

"Fenomena tersebut telah berlaku sejak Jumaat lalu justeru menyebabkan pencemaran pantai sejauh kira-kira tiga kilometer.

“Kejadian seperti ini telah biasa terjadi tetapi pada kali ini agak luar biasa dengan jumlah sampah yang begitu meningkat," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini.

Tambah Rosli Latif, pantai sejauh kira-kira tiga kilometer itu dipenuhi dahan dan ranting kayu serta botol bekas minuman.

Tambahnya lagi, timbunan sampah tersebut boleh mencemarkan kawasan tarikan pelancong di kawasan tersebut.

Beliau berkata, pada Jumaat, 30 Disember pihak MBKT akan menyambung kerja-kerja membaik pulih dan membersihkan pantai itu sehingga selesai.

 


Tag: