Santuni Balu Veteran ATM, Hargai Jasa Pejuang Negara

DUNGUN, 30 Jun – Seramai 64 orang balu bekas Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Cawangan Dungun menerima sumbangan bantuan berupa beras, ayam dan wang tunai dalam satu program yang diadakan di Pejabat Persatuan Veteran ATM Cawangan Dungun, baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di Facebook Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, program berkenaan bukan sekadar simbolik pemberian sumbangan, malah merupakan satu bentuk penghargaan dan kasih sayang masyarakat terhadap waris-waris pejuang negara yang telah banyak berkorban demi keamanan dan kedaulatan tanah air.

“Pengorbanan anggota tentera tidak ternilai harganya dan jasa mereka wajar dikenang sepanjang zaman. Maka apabila seorang pejuang telah kembali ke rahmatullah, menjadi tanggungjawab kita untuk terus menyantuni keluarga yang ditinggalkan, khususnya balu yang memainkan peranan besar sebagai penyambung perjuangan di sisi keluarga.

“Semoga bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung serta menyuntik semangat untuk terus tabah menghadapi cabaran hidup. Usaha kecil ini diharapkan menjadi amal jariah dan bukti bahawa jasa para veteran tidak pernah dilupakan,” ujarnya dalam kenyataan itu.

Tambahnya, program seumpama itu dilihat penting bagi membina jalinan kebersamaan antara masyarakat dan waris pejuang negara, di samping menyemarakkan semangat solidariti serta kesinambungan perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air.

Sumbangan telah disampaikan oleh Pegawai Khas kepada YB Ahli Parlimen Dungun, Tuan Haji Mohd Amin bin Hamid, yang mewakili beliau dalam program tersebut.

 

 

 

 


Tag: