Santuni Orang Asli Kuala Sayap

BESUT, 5 Jun– Program “Menyantuni Komuniti Orang Asli dan Gotong-Royong” yang berlangsung di Kampung Kuala Sayap telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin berkata, program tersebut dianjurkan dengan matlamat utama bagi mengukuhkan ukhwah dan mempererat silaturahim antara komuniti luar dan masyarakat Orang Asli di kampung tersebut.

“Sesungguhnya, dengan saling mengenali, menghormati dan memahami budaya serta cara hidup masing-masing, kita mampu membina sebuah masyarakat yang lebih harmoni, inklusif dan bersatu padu,” ujar beliau ketika berucap di Majlis tersebut, di sini, hari ini. 

Katanya, antara pengisian utama program adalah aktiviti sukaneka dan gotong-royong yang turut disertai oleh komuniti tempatan.

"Aktiviti ini selaras dengan aspirasi untuk memastikan persekitaran kampung kekal bersih dan sihat, seiring dengan slogan “Hulu Besut Bersih”," katanya. 

Atas kejayaan pelaksanaan program tersebut  Mohd Husaimi  merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya komuniti Orang Asli Kampung Kuala Sayap yang menyambut baik kehadiran rombongan, serta pasukan Ameerah Kawasan Besut yang turun padang memberikan sokongan padu.

“Semoga segala usaha murni ini menjadi amal jariah buat kita semua dan menjadi titik tolak kepada lebih banyak program yang menghubungkan hati dan menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang,” tambah beliau.

Menurut beliau, program seumpama itu akan diteruskan pada masa akan datang demi mewujudkan masyarakat yang saling memahami, bersatu dan makmur bersama.

 


Tag: