Universiti Antarabangsa Buka Pintu, Pelajar Terengganu Perlu Lebih Bersedia
Santuni Peniaga, Raih Rezeki di Bulan Ramadhan
KUALA NERUS, 9 Mac – Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim, meluangkan masa menyantuni 170 orang peniaga di Bazar Ramadan Gong Badak, Kuala Nerus beru-baru ini.
Hishamuddin berkata, kunjungan itu sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen mereka dalam menyediakan juadah berbuka puasa kepada masyarakat.
Dalam kunjungan tersebut, beliau turut mengagihkan apron dan kurma kepada para peniaga serta menyampaikan hadiah cabutan bertuah sebagai galakan kepada mereka untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik sepanjang bulan Ramadan.
“Saya sempat menyampaikan pesanan buat peniaga bazar supaya mengambil keberkatan bulan Ramadhan dengan melakukan amalan-amalan sunat seperti berzikir sementara menunggu pengunjung datang membeli selain mengingatkan peniaga menjaga kebersihan dan menjual dengan harga berpatutan,” katanya.
Hadir sama dalam program itu ialah Yang Dipertua Persatuan Peniaga Melayu Pasar Malam Daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus (PEMATUN), Azaha Yusof.
Menurut Hishamuddin, Bazar Ramadan Gong Badak terus menjadi destinasi pilihan penduduk setempat kerana menawarkan pelbagai jenis juadah, daripada makanan tradisional Terengganu seperti nasi dagang, akok, nekbat dan sata hingga ke hidangan barat yang digemari ramai.
Kedudukannya yang strategik turut menjadikannya lokasi tumpuan para pelajar dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), serta Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail (IPG KDRI) yang mencari hidangan berbuka puasa yang enak dan berpatutan.