• 01 Mei 2024 | 22 Syawal 1445

Sasar 100 Sekolah Pondok Berdaftar




KUALA TERENGGANU, 4 Februari-  Kerajaan negeri menyasarkan kira-kira 100 sekolah pondok milik persendirian dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Terengganu berdaftar menerusi Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sepanjang tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, *Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, berdasarkan rekod, sebanyak 60 sekolah pondok membabitkan hampir 10,000 pelajar dan 900 tenaga pengajar beroperasi secara sah.

“Selebihnya iaitu hampir 40 sekolah itu akan membuat pendaftaran sebaik memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan JHEAT.

“Oleh itu, dia menyokong penuh penubuhan Persatuan Kebajikan Rabitah Institusi Pendidikan Islam Terengganu (Rabitah) pada Disember tahun lalu yang bertujuan memudahkan urusan sama,”katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Himpunan Sekolah-Sekolah Pondok Negeri Terengganu, di Dewan Terbuka JHEAT,  di sini, hari ini.

Mohd Nor turut memberitahu, wujudnya Rabitah mampu menaikkan martabat, imej, menguatkan kepercayaan masyarakat dan mendorong lebih banyak NGO membuka sekolah seumpama itu pada masa akan datang.

Katanya, fungsi Rabitah cukup penting bukan saja sebagai suara kepada kerajaan negeri dan pusat untuk pelbagai kemudahan, malah dapat membela kebajikan pelajar, tenaga pengajar dan ahli.


“Pada masa sama dapat menyatukan institusi pengajian islam dalam pelbagai aliran sama ada agama dan integrasi, selain mengadakan pelbagai program keagamaan.

“Sebagai contoh, kejayaan terbesar persatuan itu mampu mengadakan kerjasama menganjurkan Program Ijtimak Pondok Dan Pusat Pengajian Islam Terengganu yang menghimpunkan seluruh pondok dan sekolah agama rakyat di negeri ini,” katanya.





Tag: