• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Sasar 150,000 Lawat Pusat Sains Terengganu 2023

KUALA TERENGGANU, 31 Januari – Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) meletakkan sasaran seramai 150,000 pengunjung pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim berkata, pada tahun lepas PSKT telah mencapai rekod apabila menerima pelawat seramai 100,000 orang.

Katanya, ia meningkat berbanding pada tahun sebelumnya yang hanya menerima kunjungan seramai 10,000 orang sahaja.

“Pencapaian ini menjadikan kutipan pendapatan tiket pelawat melebihi RM850,000 pada tahun 2022.

“Manakala kutipan tahun sebelumnya sebanyak RM82,000 sahaja,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) PSKT bersama Rakan Strategik bertempat di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat.

Tambah Mohd Huzairil, PSKT berdiri kukuh sebagai salah sebuah organisasi yang berkonsepkan pembelajaran sepanjang hayat .

Katanya, di samping itu pusat terbabit akan mempelbagaikan sumber maklumat dan ilmu mengenai sains persekitaran.

"Kini, PSKT sedang mengorak langkah mengejar impian menjadikan salah sebuah anak syarikat kerajaan negeri yang bertaraf antarabangsa.

“Iaitu dalam kapasiti pendidikan berpelancongan dan memfokuskan elemen kreativiti, inovasi, sains dan teknologi dalam kalangan masyarakat,” katanya.

 


Tag: