• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Sasar 320 Pendaftaran Bagi Pemilihan Adun Belia Terengganu

KUALA TERENGGANU, 5 Disember - Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBNST) menyasarkan 320 calon akan berdaftar untuk mewakili 32 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pemilihan Ahli Dewan Undangan (Adun) Belia sesi 2021/2023.

Penolong Pegawai Seranta Unit Belia UBSNT, Syed Ahmad Abdus Salam Syed Nazmi berkata, pemilihan calon telah bermula dan terdapat beberapa pembaharuan serta penambahbaikan dilakukan dalam struktur Dewan Belia Terengganu pada sesi kali ini.

“Sambutan agak baik, kita sasarkan sepuluh belia dapat mewakili sebagai calon DUN masing-masing.

“Bagi calon yang terlibat dengan bencana banjir dan kuarantin mereka boleh hadir pada sesi pemilihan semula yang akan diumumkan kelak,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di Pemilihan Adun Belia Siri Dua di Pusat Sains Dan Kreativiti Terengganu, semalam.

Katanya, bagi peringkat pertama pemilihan Adun Belia, calon perlu melalui proses saringan melibatkan peperiksaan bertulis.

"Seterusnya, selepas proses pemilihan ini, peserta akan terus ke kem teori yang disertai oleh calon-calon yang sama memohon menjadi Adun Belia.

“Di kem teori akan diadakan saringan yang kedua, ada ujian lisan, prestasi serta lain-lain penilaian.

“Yang berjaya ke peringkat seterusnya akan masuk kem induksi, mereka inilah yang akan menjadi Adun Belia mewakili DUN masing-masing dan akan ke peringkat keempat iaitu persidangan dan angkat sumpah sebagai Adun Belia di Dewan Belia Terengganu,” jelasnya.

Menurutnya, pelantikan sebagai Adun Belia adalah sebagai latihan untuk mereka, selain menarik golongan muda untuk bersama-sama mengetengahkan dan menyalurkan apa jua isu kepada kerajaan, bagi membolehkan langkah selanjutnya diambil.

“Objektif program ini adalah untuk melahirkan pelapis kepimpinan negeri dan untuk menyuarakan suara anak muda kepada kerajaan negeri.

“Malah, sebagai platform untuk mereka ini berpidato menyampaikan idea dan membentangkan cadangan-cadangan dan seterusnya mereka ini juga perlu aktif melibatkan diri  bersama masyarakat dan komuniti setempat,” katanya.