• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

Sasar 40,000 Daftar SKSPS Padanan Caruman  Di Terengganu

 


KUALA TERENGGANU, 5 Januari – Lebih 40,000 individu bekerja sendiri disasarkan menikmati bantuan caruman menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Padanan Caruman pada tahun ini.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu, Farihah Che Husin berkata, insentif caruman 80 peratus daripada pelan kedua SKSPS itu layak dimohon oleh lapan kumpulan sasar iaitu orang kurang upaya (OKU), pekerja sektor gig, usahawanita, orang asal, sektor pelancongan, pertanian dan kesenian.

“Melalui inisiatif ini, caruman sebanyak RM186.20 akan ditanggung oleh kerajaan manakala 20 peratus lagi iaitu RM46.60 perlu dibayar oleh pencarum bagi mendapat perlindungan Perkeso selama setahun.

“Jadi, saya harap mereka yang bekerja sendiri termasuk wartawan dapat mengambil peluang mencarum di bawah SPS Padanan Caruman kerana banyak faedah bakal diperoleh antaranya faedah hilang upaya dan pencen faedah orang tanggungan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000 dan pencen penakat kepada suami wartawan Sinar Harian, Rubiah Omar yang meninggal dunia pada 24 Disember lalu di Kampung Gong Pak Maseh, di sini hari ini.

Melalui faedah itu, suaminya, Ahmad Zamri Sulong layak menerima pencen penakat berjumlah RM1,644 sebulan seumur hidup manakala dua anaknya, Muhammad Zulfan Fauzan, 9, dan Muhammad Zulfadhli Firdaus, 7, sehingga berusia 21 tahun.

Dalam perkembangan sama, sebanyak RM15.5 juta bayaran faedah berjaya dilunaskan kepada penerima yang layak melibatkan 6,906 kes di seluruh Terengganu.

 “Bayaran faedah ini melibatkan penerima bagi kes Hilang Upaya Sementara, Hilang Upaya Kekal, Faedah Orang Tanggungan dan Faedah Pengurusan Mayat,” katanya.