• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Sasar 80 Peratus Penduduk Disuntik Vaksin Sebelum Tengkujuh

KUALA TERENGGANU, 21 Jun - Kerajaan Pusat menyasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus daripada 26.5 juta penduduk di negara ini mendapat suntikan vaksin sebelum menjelang tengkujuh akhir tahun ini.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Dato' Ahmad Amzad Hashim berkata, angka itu perlu dicapai berikutan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir antara lokasi yang berisiko tinggi kebolehanjangkitan Covid-19.

Katanya, pelbagai langkah diambil kerajaan bagi membolehkan angka itu mampu dicapai .

"Antaranya menambah lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) dan tenaga kerja terutama vaksinator.

"Mewujudkan unit vaksinasi bergerak ke kampung dan kawasan pedalaman untuk memudahkan proses vaksinasi kepada penduduk kampung, Orang Asli, warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta gelandangan," katanya ketika bersiaran secara langsung di TV Darul Iman semalam.

Ahmad Amzad berkata, kerajaan turut berusaha menyasarkan hampir 200,000 penduduk mendapat suntikan sehari mulai Julai ini. 

"Peningkatan kepada 300,000 sehari pada bulan seterusnya dan pada September pula kemungkinan mampu mencapai 400,000 suntikan sehari.

"Peningkatan jumlah suntikan pada setiap bulan diyakini mampu mencapai angka 80 peratus penduduk mendapat suntikan," katanya.

.


Tag: