• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Sasar Tanam 500,000 Pokok Sepanjang 2023

KEMAMAN, 8 Februari – Terengganu meletakkan sasaran sebanyak 500,000 pokok yang akan ditanam sepanjang tahun 2023 ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja berkata Terengganu adalah negeri yang menawarkan destinasi pelancongan berasaskan flora dan fauna.

Justeru itu katanya, penanaman pelbagai spesies pokok menerusi kempen ini akan memberi manfaat kepada rakyat dan negeri ini.

“Kempen Penanaman 100 Juta Pokok ini bertujuan untuk memperkayakan kawasan hijau dan khazanah hutan kita. 

“Di samping, kerajaan negeri sentiasa komited menyokong usaha positif untuk memastikan khazanah hutan negeri terus kekal dan dipelihara serta dapat dimanfaatkan sebaik mungkin,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Kick-Off Program Penghijauan Malaysia Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2023 Bertempat di Dewan Darul Iman Training Centre (DITC), Pantai Teluk Kalong, Kemaman baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan (Dasar Dan Perancangan) Dato’ Zahari Ibrahim dan Pegawai Daerah Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab.

Tambah Bijaya Raja, tema bagi kempen Penanaman 100 Juta Pokok ini adalah “Pokok Kita Kehidupan Kita” atau “Our Trees Our Life”.

Beliau turut melahirkan rasa teruja apabila dimaklumkan bahawa beliau akan menanam pokok yang ke-800,000 pada program itu.

Pada tahun 2022, beliau yang merasmikan majlis yang sama seumpama ini telah diberi peluang untuk enanam pokok yang ke-330,000 di Seberang Pintasan, Dungun. 

“Semoga pokok yang ditanam akan terus kekal subur serta memberi manfaat kepada bumi Terengganu sekaligus dapat membantu mencapai 1 juta pokok menjelang akhir tahun 2023,” katanya.

Beliau berharap, melalui kempen ini dapat menaikkan semangat rakyat negeri ini dalam menyemarakkan usaha menanam pokok di Negeri Terengganu.

“Semoga semua pihak dapat mengambil cakna dalam meningkatkan kesedaran serta kepentingan hutan bagi kesejahteraan hidup manusia,” ujarnya.

 

 

 

 


Tag: