• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Satiful, Alias Bergelar Dato'

KUALA TERENGGANU, 14 Ogos - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Mahkota Terengganu (D.P.M.T.) yang membawa gelaran Dato' kepada dua Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu, Satiful Bahri Mamat dan Dr Alias Razak.

Kedua-dua Exco Kerajaan Negeri itu merupakan antara 91 penerima Bintang-bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu 2022 sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-60 Hari Keputeraan Baginda. 

Pengurniaan disempurnakan dalam Istiadat Pengurniaan Bintang-bintang Darjah Kebesaran Negeri di Balairong Seri, Istana Syarqiyyah, Chendering, di sini hari ini. 

Keberangkatan Baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu serta Yang Amat Mulia Paduka anakanda-anakanda Sultan Terengganu; Yang Amat Mulia Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja. 

Duta Besar Ke Perancis, Dato’ Mohd Zamruni Khalid pula menjadi penerima tunggal Darjah Kebesaran Dato’ Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (D.S.M.Z.) yang juga membawa gelaran Dato’.

Selain itu, D.P.M.T. turut dianugerahkan kepada 16 penerima lain antaranya Pegawai Kewangan Negeri, Rozali Salleh; Timbalan Ketua Polis Negeri, SAC Wan Rukman Wan Hassan dan Pengarah Pertanian Negeri, Zulkepli Amin Mat Jusoh@Yusof.

Pada masa yang sama, Sultan Mizan turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (S.M.Z.) kepada 25 individu termasuk lima Exco Kerajaan Negeri iaitu Hanafiah Mat, Ariffin Deraman, Dr Mamad Puteh, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman dan Wan Sukairi Wan Abdullah.

Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Romli, Shaharizukirnain Abd Kadir (Setiu) dan Che Alias Hamid (Kemaman) pula menjadi antara 17 individu yang dikurnia Darjah Ahli Setia Mahkota (S.M.T.) selain dua tokoh akademik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Dr Tengku Sifzizul Tengku Muhammad dan Profesor Ts Dr Mohd Shaladdin Muda.

Turut hadir Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Yahaya Ali dan Exco Kerajaan Negeri.

 


Tag: