KUALA NERUS, 13 Ogos - Bagi memastikan masalah kebocoran paip yang menyebabkan krisis air di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu tidak berulang, kerajaan negeri memperkemaskan langkah susulan dan menambah baik beberapa aspek penyelenggaraan Syarikat Air Terengganu (SATU).
Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tumpuan utama kerajaan negeri adalah memastikan pembinaan Loji Bukit Berapit siap lebih awal atau menepati tarikh ditetapkan.
"Pihak SATU juga akan bekerjasama dengan pihak-pihak berwajib bagi membuat penandaan jajaran paip yang ada di seluruh dasar sungai dan laut Terengganu.
"Selain itu, SATU akan memperkemaskan pemeriksaan berkala bagi semua paip terutamanya yang berada di jajaran dasar sungai dan laut.
"Penyelenggaraan baik pulih akan disegerakan, penyelenggaraan pencegahan akan ditambah baik dan distruktur semula," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media SATU di Loji Air Bukit Berangan, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan.
Selain itu menurutnya, kerajaan negeri turut membentuk jawatankuasa siasatan untuk menyelidik isu kebocoran paip air di dasar sungai Terengganu itu secara lebih teliti.
"Jawatankuasa ini diketuai Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN) dan dianggotai oleh pelbagai agensi berkaitan termasuk Jabatan Alam Sekitar.
"Mereka diberi tempoh 30 hari untuk mengeluarkan hasil siasatan dan tindakan dicadangkan kepada kerajaan negeri, yang bermula tiga hari lalu.
"Buat masa ini, aktiviti yang berkaitan di kawasan itu juga telah dihentikan sehingga dinilai kembali oleh jawatankuasa siasatan," katanya.