• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

SATUCare Bantu Pasang Paip Rumah Buruh

MARANG, 26 Mei - SATUCare telah membantu keluarga seorang buruh, Muhamad Khairul, 36, bagi pemasangan paip bekalan air daripada pihak Syarikat Air Terengganu (SATU) melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) baru-baru ini.

Pegawai Khas Menteri Besar, Wahad Osman berkata, saluran paip air sepanjang 250 meter dapat disambungkan ke rumah mereka melalui inisiatif ini di Kampung Tertak Batu dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang.

"Sebelum ini, mereka hanya menggunakan sumber air hujan yang ditadah ke dalam tangki air di luar rumah untuk kegunaan harian.

"Ada satu ketika mereka terpaksa balik ke kampung ibu bapa atau ke surau berdekatan untuk mendapatkan bekalan air," katanya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI).

Tangki yang digunakan untuk menadah bekalan air hujan di luar rumah

Muhamad Khairul yang berkerja sebagai buruh kecil, juga tinggal bersama isteri dan dua anaknya yang dibina secara berperingkat telah tinggal di situ selama lebih dua tahun.

Menurutnya lagi, dengan bantuan ini sekaligus dapat memberikan keselesaan dan mengurangkan beban mereka lebih-lebih lagi sumber bekalan air bersih sangat penting dalam kehidupan seharian.

Kerja-kerja pemasangan paip sedang dijalankan

Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, beberapa siri perbincangan telah diadakan dengan pihak SATU bagi merealisasikan hasrat tersebut.

"Alhamdulillah, siasatan dan tinjauan dibuat sendiri dengan kerjasama pihak SATU ke rumah mereka, dan setelah beberapa siri mendapatkan maklum balas, mereka telah menerima bantuan CSR daripada SATUCare.

"Kami juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak SATU atas bantuan dan usahasama yang dilakukan, malah telah memberi banyak manfaat kepada masyarakat," tambahnya lagi.


Tag: