• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Sedia Insentif Khas Bakal Pengundi 18 Tahun

KUALA TERENGGANU, 26 Januari - Kerajaan bersetuju untuk meneliti cadangan berhubung pemberian insentif khas kepada golongan muda khususnya mahasiswa berusia 18 tahun kerana mereka bakal mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.

Perkara itu dicadangkan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali dalam pertemuan beliau dengan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini.

Beliau memberi contoh, pemberian insentif yang boleh dipertimbangkan ialah penyediaan dana bagi menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Kata beliau, pertemuan itu antara lain bagi membincangkan dan membangkitkan sembilan perkara penting membabitkan kesejahteraan serta kepentingan rakyat.

“Antaranya ialah insentif pengundi 18 tahun, isu Skim Wakaf berkaitan pendidikan percuma dengan geran padanan, Kadar Dasar Semalaman (OPR), cukai digital ekonomi dan  penggabungan bank fasa ketiga,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Khairuddin berkata, Tengku Zafrul turut  memaklumkan bahawa Kabinet sudah membincangkan cadangan mewujudkan semula konsep ‘Build-Own-Lease-Transfer’ (BOLT) dan ‘Deferred Payment’ hanya untuk projek infrastruktur yang tertentu seperti pembinaan hospital, sekolah, air dan universiti.

“Saya harap dengan keputusan-keputusan penting ini akan memberikan manfaat kepada rakyat dan negara. Insya-Allah,” katanya.