• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Sedia Kerjasama Dengan Semua Pihak Demi Rakyat - MB

KUALA TERENGGANU, 16 Ogos – Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersikap terbuka dan bersedia bekerjasama dengan semua pihak termasuk kerajaan Persekutuan demi rakyat.

Ahmad Samsuri berkata, pendekatan itu perlulah diambil oleh semua pihak bagi memastikan rakyat di seluruh negara mendapat manfaat.

Katanya, pemberi dan penerima perlulah bersikap matang dan jujur dalam menyelesaikan sesuatu perkara.

“Saya selalu tegaskan bahawa kita mengamalkan politik matang dan sejahtera kerana akhirnya yang menjadi kesan bukan kepada kerajaan semata-mata bahkan kepada rakyat.

“Jadi dengan pendekatan ini kami sentiasa bersikap terbuka untuk berunding dengan semua pihak demi rakyat,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Sidang Media selepas selesai mesyuarat pertama Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bertempat di U2, Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Terdahulu pada selasa Ahmad Samsuri berkata, beliau dan pimpinan kerajaan negeri akan mengamalkan pendekatan sama iaitu politik harmoni, matang dan sejahtera termasuklah apabila berhubung dan berkopmunikasi dengan kerajaan persekutuan.

“Setelah berakhir pilihan raya, malam itu saya menerima beberapa mesej daripada rakan-rakan Yang Berhormat (YB) Menteri di peringkat persekutuan yang menyatakan kesediaan untuk bertemu dan meneruskan hubungan baik antara kedua-dua kerajaan.

“Jadi saya rasa tiada masalah dan kita di kerajaan negeri akan terus mengusahakan hubungan yang baik dengan persekutuan," katanya.

Beliau berkata, itulah realiti yang ada dalam perlembagaan negara kita, jadual 9 memperuntukkan kuasa bersama, kuasa kerajaan pusat dan kuasa negeri.

“Apabila sebut kuasa bersama, bagaimana hendak bersama jika tiada perbincangan?

“Jadi mestilah wujud perbincangan -perbincangan dan hubungan rapat antara kerajaan negeri dan pusat.

“Saya harap selepas pru ini semua pihak dapat kembali kepada 'common sense' dan melaksanakan tanggungjawab di peringkat negeri dan persekutuan,” ujarnya.

 


Tag: