• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Sedia Lori Minyak Bergerak Di Kawasan Banjir

KUALA NERUS, 25 September - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)akan memperluaskan trak perkhidmatan mengisi minyak bergerak, Petronas (ROVR), sebagai persediaan menghadapi musim banjir di seluruh negara.

Ketua Setiausahanya, Datuk Azman Mohd Yusof berkata langkah berkenaan akan membolehkan orang ramai termasuk pasukan penyelamat mendapat akses bahan api dengan lebih mudah dan pantas.

Katanya, sebanyak 32 lori dan empat buah trak akan disediakan untuk digerakkan ke lokasi mengikut keperluan semasa berbanding hanya dilaksana di dua negeri yang terjejas banjir iaitu Kelantan dan Terengganu pada Februari baru-baru ini.

“Tindakan ini diputuskan kerana kita tidak mahu apabila timbul isu berkaitan baru fikirkan apa yang perlu dibuat, jadi kita buat perancangan dan keputusan awal…pelaksanaanya nanti akan bergantung  pada pengurusan Pengarah KPDNHEP negeri-negeri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau program JMKM di Kampung Duyung, Seberang Takir, di sini, hari ini.

Menurutnya, perkhidmatan ROVR itu bagi mengelakkan bekalan minyak petrol dan diesel terputus dan memudahkan pengurusan di kawasan bencana.

Sementara itu, mengulas isu kekurangan kekurangan bekalan telur ayam di Langkawi di Kedah, Jerantut di Pahang dan Hulu Terengganu di Terengganu, Azman berkata, ia bukan satu krisis kerana isu tersebut akan dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat.

“Oleh itu, masalah yang berlaku dapat diselesaikan secepat  mungkin contohnya aduan kehabisan telur ayam pada sebelah pagi dan bekalan terus dihantar pada sebelah petang atau keesokan harinya, tidak berlaku dalam tempoh yang panjang,” katanya.