• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Sedia Teruskan Misi Sukarelawan - Wan Sukairi

KUALA TERENGGANU, 28 Disember – Kerajaan negeri sedia memberikan khidmat kesukarelawan untuk siri seterusnya bagi meringankan beban mangsa banjir di Pahang yang paling terjejas akibat bencana alam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia merupakan hasrat Terengganu bagi mengurangkan bebanan kerajaan negeri  yang terlibat dalam mendepani musibah banjir.

“Kita tidak menolak untuk membantu jika keadaan masih memerlukan dan dalam masa yang sama jika di tempat kita tidak berlaku masalah besar, ada kemungkinan untuk kita adakan siri yang berikutnya.

“Oleh itu, sedikit sebanyak sumbangan sukarelawan ini tidak menjadi persoalan kerana yang paling penting ada penglibatan dalam membantu mangsa-mangsa banjir ini dan kita akan bersedia setiap masa,”ujarnya.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas merasmikan Majlis  Perlepasan Operasi Bantuan Banjir Terengganu ke Pahang di perkarangan Muzium Losong, di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut,  seramai 650 sukarelawan yang terdiri daripada Urus Setia Belia Sukan (UBSNT) melalui T-Volt (Terengganu Volunteer) akan mengadakan operasi bantuan pasca banjir 2021 ke Pahang selama tiga hari bermula hari ini melibatkan kawasan Temerloh dan Mentakab.

Katanya, antara yang terlibat kali ini adalah Urus Setia Belia, Sukan dan NGO, Urus Setia Penerangan Darul Iman, Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan, Majlis Daerah, Bomba, Angkatan Pertahanan Awam, Polis, Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengaliran dan Saliran.

Wan Sukairi juga berkata sebanyak RM150 ribu telah diperuntukkan untuk misi banjir selama tiga hari ini meliputi semua aspek.

Tambah beliau lagi, antara misi kali ini, sukarelawan tersebut akan membersihkan rumah mangsa banjir, menyampaikan sumbangan keperluan dan mengadakan dapur rakyat di kawasan yang terlibat.