• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Sedia Terima Teguran – Dr Azman


Oleh : Hidayah Azlin 

SETIU, 15 Ogos –  Disiplin, intergriti, beretika dan penuh kewibawaan perlu diterapkan dan ditingkatkan dalam diri setiap pekerja agar membentuk pekerja yang berkualiti.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata setiap pekerja tidak kira samada kakitangan kerajaan, swasta mahupun persendirian perlu menerapkan nilai-nilai murni  bagi memastikan kualiti kerja itu paling terbaik.

‘’ Sekiranya ada yang mendakwa bahawa terdapat kakitangan Jabatan Pertanian Terengganu tiada kerja, makan gaji buta, saya sebagai orang yang bertanggungjawab akan terasa.

‘’Yang pertamanya, saya akan jemput orang berkata begitu untuk datang ke pejabat.  Saya mahu tahu apa sebab tuduhan itu keluar,’’ ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi selepas menziarahi dua kematian di Kampung Anak Ikan dan Kampung Gong Berangan, petang semalam.

Katanya, beliau sebagai pemimpin sentiasa bersedia untuk bertanggungjawab perbetulkan keadaan sekiranya dakwaan itu berasas demi menjaga prestasi, nama baik dan penambahbaikan.

‘’ Kalau dakwaan dia ada asas, tanggungjawab sayalah sebagai pemimpin untuk perbetulkan keadaan. Kalau dakwaan sekadar atas angin, dia yang kena perbetulkan,’’ jelasnya.

Terdahulu Dr. Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi turut mengingatkan untuk menjaga adab-adab sewaktu menziarahi kematian.

"Ketika ziarah, kita ambil peluang untuk menginsafi diri agar tidak sombong ketika hidup kerana semua orang akan menemui tempoh pengakhiran hidup.

‘’ Hebat macam mana pun, sampai masa kita perlu diusung. Tidak boleh berjalan sendiri ke kubur. Maka janganlah angkuh semasa kita masih boleh melangkah gagah,’’ katanya.


Tag: