Terengganu Peruntuk RM6 Juta Bantu Pelajar Sambung Master, PhD
KUALA TERENGGANU, 8 Februari- Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh mengambil inisiatif menyediakan tong ‘Roll On Roll Off’ (RORO) secara percuma dalam usaha mengurangkan longgokan sampah pukal di beberapa lokasi penduduk padat di DUN terbabit.
Ahli Dewan undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, dengan kerjasama pihak Everlantern Sdn Bhd, tong tersebut diletakkan di dua lokasi sebagai percubaan bermula bulan ini.
"Kami sedang membuat percubaan dalam mengurangkan longgokan sampah pukal di beberapa lokasi penduduk padat dengan meletakkan tong sampah RORO dengan kerjasama pihak Everlantern Sdn Bhd.
“Setiap Rabu dan Sabtu pada awal dan akhir bulan kami akan tempatkan tong roro ini di dua lokasi iaitu di sebelah kandang sampah Taman Permint Makmur/Taman Mahathir dan sebelah kandang sampah berhadapan Padang Bola Sintetik Tok Jiring,” ujarnya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
Katanya, pemilihan hari tersebut dibuat berikutan menjadi kelaziman penduduk bergotong-royong membersihkan halaman rumah ketika itu.
“Jadi sampah pukal buangan boleh ditempatkan dalam tong sampah RORO yang disediakan untuk mengelakkan ia berlonggok," katanya.
Tambah beliau, penduduk dalam kawasan tersebut dimohon merancang untuk memastikan aktiviti pembersihan laman rumah dan pembuangan sampah pukal dapat dilakukan dalam tempoh tersebut.
“Sampah pukal ialah barangan selain sisa makanan seperti perabot, tilam, barang elektronik, tayar buruk, batu, kayu atau pokok dan yang seumpamanya.
“Manakala sampah domestik meliputi sisa makanan daripada penduduk atau perumahan. Sampah domestik boleh ditinggalkan di tong sampah yang disediakan di kawasan kandang sampah berkenaan,” ujarnya.
Menurut Hishamuddin, penduduk juga diharapkan dapat memberikan kerjasama untuk menjayakan usaha tersebut.
“Pihak kami akan memantau kerjasama penduduk dan kesan percubaan ini untuk bulan Febuari dan Mac. Semoga terdapat kesan yang positif atas usaha ini,” katanya.