• 17 Apr 2024 | 8 Syawal 1445

Segera Ambil Dos Penggalak Sebelum Terlambat - Dr Alias

KEMAMAN, 21 Disember – Kerajaan Negeri menyeru kepada semua penerima dos lengkap vaksin COVID-19, Sinovac yang berusia 18 tahun ke atas agar mengambil suntikan dos penggalak bagi mengekalkan kadar antibodi bagi melawan kesan virus itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar, Dr. Alias Razak berkata, kajian berterusan yang dijalankan pelbagai pihak menunjukkan keberkesanan vaksin tersebut berkurang selepas tempoh lebih enam bulan.

“Setakat ini, stok vaksin di Terengganu masih banyak di klinik kesihatan dan swasta, namun kedatangan warga negeri kurang memberangsangkan berbanding kempen suntikan pertama dan kedua.

“Dos disimpan mempunyai tarikh luput dan akan rosak jika tidak digunakan dalam tempoh tertentu, jadi amat penting bagi rakyat kita untuk mendapatkan suntikan booster ini selewat-lewatnya pada Februari tahun depan bagi mengekalkan status vaksin lengkap.

“Sekarang ini juga, siapa yang belum menerima tarikh temu janji di aplikasi MySejahtera boleh berjalan masuk segera bagi mengambil suntikan dos terutamanya yang disediakan di pelbagai klinik swasta seluruh negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis MoU diantara TDMP dan MPOGCF di Resort World Kijal, semalam.

Jelasnya lagi, jumlah kes kematian yang masih tinggi di dalam negeri juga diantara sebab kenapa suntikan vaksin penting bagi mengurangkan jangkitan dan keparahan kes COVID-19.

Berdasarkan laman sesawang COVIDNOW, hanya 10 peratus penerima berumur 18 tahun keatas telah menerima suntikan penggalak dengan peratusan lengkap divaksinasi dua dos sebanyak 93 peratus.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata individu yang berusia 60 tahun ke atas tanpa mengira jenis vaksin yang diambil sebelum ini juga perlu mendapatkan suntikan dos penggalak itu pada tempoh berkenaan.