• 28 Okt 2021 | 21 Rabiul Awal 1443

Segera Daftar Vaksin COVID-19 - Titah Sultan Mizan

KUALA TERENGGANU, 13 Mei – Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru seluruh masyarakat negeri ini untuk mendaftarkan diri dalam program vaksinasi Covid-19.

Titah Baginda, pengambilan vaksin adalah mustahak kerana ia sebagai langkah keselamatan untuk keluarga dan masyarakat di negara ini supaya dilindungi daripada virus tersebut.

"Beta dan Sultanah mengharapkan semoga ia menjadi titik permulaan berakhirnya wabak penyakit ini dan kehidupan akan kembali seperti sedia kala," titah baginda dalam perutusan khas sempena sambutan Aidilfitri.

Baginda turut menyeru agar seluruh rakyat memberi kepercayaan penuh kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menangani penularan Covid-19 menerusi penggunaan vaksin yang menjadi satu daripada ikhtiar melalui kaedah sains perubatan.

Sultan Mizan juga mengingatkan semua rakyat Terengganu supaya bersama-sama menghargai pengorbanan dan perkhidmatan diberikan pelbagai pihak terutamanya petugas barisan hadapan.

“Mereka sedang bekerja keras membendung wabak Covid-19 sehinggalah kemeriahan Aidilfitri dapat disambut dengan suasana aman, tenteram dan harmoni.

"Beta dan Sultanah menzahirkan penghargaan dan mendoakan segala khidmat bakti mereka diterima dan diberkati oleh Allah di dunia dan di akhirat," titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Mizan berharap rakyat dapat meneruskan amalan menjalinkan hubungan silaturahim dengan memanfaatkan kemudahan media baharu dan elektronik untuk menghubungi kaum keluarga, sahabat dan jiran tetangga, bersempena Aidilfitri yang disambut dalam suasana norma baharu.

Baginda bertitah amalan salam-bersalaman dan ziarah-menziarahi ke rumah sanak saudara boleh diganti dengan bertemu di alam maya dari rumah masing-masing.

"Kerinduan pulang ke kampung halaman untuk bertemu ibu bapa serta ahli keluarga Insya-Allah akan terubat walaupun dapat bertemu dalam talian. Dengan cara ini dapatlah juga kita bertanya khabar dan bermaaf-maafan antara satu sama lain," titah baginda.

Sementara itu, Sultan Mizan turut menyeru umat Islam untuk terus merealisasikan dan mempraktikkan sifat sabar yang dipelajari sepanjang bulan Ramadan ini.

"Maka janganlah dengan ketibaan Syawal, segala pelajaran yang diterima sepanjang Ramadan dilupakan begitu sahaja. Inilah masa untuk umat Islam mempraktikkan pendidikan Ramadan hingga kembali Ramadan tahun hadapan, agar segala dosa kita dihapuskan Allah," titah baginda.

Sehingga semalam, Terengganu masih terendah berbanding negeri pantai timur lain dengan jumlah 280,900 pendaftaran, (Pahang: 398,027 pendaftaran) (Kelantan: 338,298 pendaftaran) berdasarkan laporan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).