• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Segerakan Pembinaan LPT3 - Ahli Dewan Negara

KUALA TERENGGANU, 25 Ogos - Kerajaan Persekutuan digesa untuk mempercepatkan permulaan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) yang telah diluluskan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Ahli Dewan Negara (Terengganu), Senator Dato’ Husain Awang berkata perkara itu wajar dilakukan kerana pergerakan rakyat di negeri Terengganu dan Kelantan terbatas akibat tidak mempunyai kemudahan yang lengkap.

“Seperti yang sedia maklum, projek pembinaan ini telah diluluskan pada tahun 2019 dan merangkumi mempunyai jarak 150 kilometer bermula dari Gemuroh, Terengganu ke Tumpat, Kelantan.

“Projek ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam membangunkan negeri Pantai Timur dan sebahagian daripada Johor,” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Pindaan) 2022 baru-baru ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Husain berkata, pelaksanaan projek melibatkan infrastruktur, pembuatan dan pelancongan di Terengganu mampu merancakkan pelaburan di Pantai Timur.

“Sudah tentu peluang pekerjaan kepada penduduk terutama Terengganu semakin meningkat sekali gus meringankan beban rakyat berikutan kos sara hidup yang semakin mencabar.

“Justeru, saya berharap kerajaan dapat memberi perhatian dan pemantauan rapi juga terhadap projek-projek lain yang sedang berjalan di Pantai Timur sehingga siap bagi mengelakkan kelewatan dan penyelewengan berlaku,” katanya.


Tag: