• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Sejarah Tercipta, Generasi Kedua Felda Terima Geran Rumah

BESUT, 28 Oktober - Sejarah tercipta apabila seramai 124 generasi kedua Felda Selasih menerima geran hak milik kekal perumahan hari ini di Felda Selasih, Jabi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komiditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata penyerahan geran hak milik kekal melibatkan generasi kedua Felda merupakan yang pertama di negara. 

“Keseluruhan tanah yang diagihkan sebanyak 124 geran hak milik tanah kepada generasi kedua Felda Selasih. Ia satu proses yang sangat panjang kita lalui dari tahun 2019.

“Kejayaan ini merupakan yang pertama dalam negara. Sebelum ini tidak pernah ada di mana-mana Felda dalam Malaysia yang mengagihkan tanah kepada generasi kedua hingga berjaya mendapat geran hak milik kekal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dalam Majlis Agihan Geran Tapak Rumah Generasi Kedua Felda Selasih semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi menepis dakwaan sebahagian pihak bahawa pemberiaan tanah melalui kerajaan negeri bersifat pilih kasih. 

“Memang kita akui proses ini tidak akan selesai dalam tempoh empat tahun, tapi kita telah cuba melakukan yang terbaik.

“Yang pentingnya ialah agihan tanah ini adil kepada yang berhak menerima, bukan dipilih berdasarkan warna parti-parti tertentu sebagaimana dakwaan.

“Jadi fitnah ini hanyalah satu ungkapan yang tidak mempunyai data ataupun bukti yang hanya dilemparkan bertujuan mencetuskan suasana tidak harmoni dalam masyarakat,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, agihan geran bagi Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) disempurnakan melibatkan RTB Pasir Tawar, Belimbing Api, Bukit Tasik, Anak Ikan dan Seri Wangi.


Tag: