• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Sekat Filem Pulau Selari Slogan Terengganu Berkat

KUALA TERENGGANU, 18 Februari - Kerajaan Terengganu membuat keputusan untuk menyekat filem kontroversi berjudul Pulau daripada ditayang di pawagam di negeri terbabit adalah kerana terdapat unsur-unsur ‘soft porn’.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan tersebut dicapai bagi menterjemahkan slogan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera. 

“Kita di Terengganu berusaha untuk kekalkan negeri ini dalam keberkatan seiring slogan yang dibawa.

“Berkat ini tidak nampak di atas pentas, maka menjadi tugas dan tanggungjawab kerajaan bagi menjaga moral dan semua hal terlibat ke arah mencari keberkatan bagi sesebuah negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Penutup Karnival Orang Kurang Upaya Negeri Terengganu 2023 di Dataran Batu Buruk, di sini hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa pihak kerajaan bersedia menerima kunjungan pihak penerbitan filem itu bagi sebarang perbincangan rayuan. 

“Kita berdasarkan treler yang ada, hujah beliau (penerbit) adalah treler tidak memaparkan keseluruhan filem. Maka tentu ia di luar pengetahuan kami. 

“Jadi jika mereka ingin merayu itu adalah hak mereka, kita tiada masalah kerana semua ada ruang untuk merayu,” katanya. 

Semalam, media melaporkan Kerajaan Terengganu mengambil keputusan menyekat tayangan filem itu di tiga buah pawagam di negeri ini dengan mendapat sokongan majoriti rakyat Terengganu.

 


Tag: