• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Sekatan Jalan Raya Dikuatkuasakan Di Seluruh Terengganu

MARANG, 9 Oktober - Sekatan Jalan Raya (SJR) bagi mencegah penularan COVID-19 dikuatkuasakan semula di 16 lokasi seluruh Terengganu bermula semalam.

Ketua Polis Negeri Terengganu, Dato' Roslee Chik berkata, pelaksanaan secara bergerak pada setiap empat jam itu dapat mengawal pergerakan masyarakat yang keluar masuk dari satu-satu daerah.

"Kita juga menasihatkan mereka supaya mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang lama, jika hendak keluar ke tempat awam dan sebagainya.

"Pada masa yang sama, dengan adanya SJR ini, pihak polis boleh mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang seperti penyeludupan manusia dan dadah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini semalam.

Menurut Roslee, pihaknya telah meningkatkan pasukan pematuhan di Terengganu dengan mewujudkan 93 pasukan berbanding 60 sebelum ini.

"Pasukan pematuhan ini dianggotai dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Rela dan lain-lain agensi akan membuat pematauan ke lokasi tumpuan awam di seluruh negeri," tambah beliau.

 


Tag: