• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Sekolah Kawalan Perlu Pertimbang Kemasukan Pelajar Kurang Cemerlang - Mahdzir

Mahdzir menyempurnakan gimik perasmian dengan menurunkan tandatangan di Hutecs

Pertimbangkan kemasukan pelajar kurang cemerlang ke sekolah-sekolah kawalan di seluruh negara khususnya dari kawasan sekitarnya,demikian kata Menteri Pendidikan, Dato' Seri Mahdzir Khalid.

Katanya, ini bagi memberi peluang kepada pelajar tempatan untuk menimba ilmu walaupun tergolong dalam kategori kurang cemerlang dari segi keputusannya.

"Sekolah-sekolah kawalan ini mempunyai syarat yang telah ditetapkan untuk memasukinya tapi hendaklah memberi peluang kepada pelajar yang berhampiran untuk masuk ke situ.

"Bila sebut sekolah kawalan maknanya orang yang tak dapat keputusan seperti yang disyaratkan tidak akan dapat memasukinya tapi kita minta berilah peluang biar mereka ni terutama yang duduk berhampiran dapat masuk ke sekolah tersebut," ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Perasmian Kolej Tingkatan 6 Hulu Terengganu (HuTeCs) & Perasmian Berkelompok Mesyuarat Agung PIBG Sekolah-Sekolah Dalam Parlimen Hulu Terengganu di Kuala Berang hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Dato' Seri Jailani Johari; Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Negeri, Dato' Tengku Putera Tengku Awang; Pengerusi Belia & Sukan dan Sumber Manusia, Dato' Rozi Mamat dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Negeri, Bazlan Abd Rahman.

Mahdzir berkata, kelonggaran itu dibuat bagi memastikan tidak berlaku pengabaian kepada pelajar yang kurang cemerlang untuk masuki sekolah kawalan berkenaan.

Tag: