• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Sekolah Terjejas Banjir Tangguh Persekolahan





Sesi persekolahan yang akan bermula esok (1 Januari) akan ditangguhkan sementara waktu bagi sekolah yang terjejas akibat  banjir di seluruh Terengganu dan dibuka semula bergantung kepada keadaan semasa.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) telahpun mengambil beberapa tindakan jika bencana banjir berlaku.

“Jika keadaan banjir berlarutan sehingga menjejaskan persekolahan, maka sekolah tersebut akan ditutup sehingga diberitahu kelak.

“Untuk sementara ini, kita akan dapatkan dahulu laporan daripada JPNT tentang perkara ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Program Jom Kembali Ke Sekolah di Dataran Permata Seberang Takir, Kuala Nerus, hari ini.

Pada masa yang sama, Ahmad Razif berpesan terutama kepada ibu bapa agar memberi perhatian kepada anak-anak pada musim bah begini supaya tidak terjadi insiden tidak diingini.

“Kita bimbang dalam keghairahan mereka hari ini bermain hujan kalau tidak diperhati boleh mengundang pada tragedi,” katanya.

Tambahnya, segala persiapan telahpun dilakukan dari awal jika bencana banjir berlaku manakala bilik-bilik gerakan turut berada dalam keadaan bersedia bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa yang memerlukan.



Tag: