• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

Sektor Pertanian Terengganu Catat Pertumbuhan Ekonomi Mendadak

Foto oleh : Hidayah Azlin

KUALA TERENGGANU, 8 Ogos – Jabatan Perangkaan Malaysia semalam melaporkan sektor pertanian di Terengganu bagi tahun 2019 mencatatkan pertumbuhan ekonomi mendadak berbanding tahun sebelumnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, peningkatan kepada enam peratus daripada -2.5 peratus pada tahun 2018 dalam bidang itu menjadi penyumbang utama pertumbuhan ekonomi di negeri ini secara keseluruhan.

"Ekonomi Terengganu mencatatkan pertumbuhan yang lebih baik daripada 2.5 peratus pada 2018 kepada 3.3 peratus pada 2019. 

"Laporan ini menyebut bahawa peningkatan ini didorong oleh peningkatan yang dicapai dalam sektor perkhidmatan dan pertanian," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, Pelan Strategik Pertanian Negeri Terengganu 2019-2023 yang diwujudkan kerajaan Terengganu menjadi asas penting terhadap pencapaian luar biasa dalam sektor terbabit.

"Saya sedar ketika mengambil alih teraju sektor pertanian negeri pada Mei 2018, kita tidak diberikan banyak harapan. Bajet negeri Terengganu 2019 untuk sektor pertanian hanya RM2 juta lebih sahaja. 

“Bayangkan kita nak bekerja bagi membangunkan sektor pertanian, perikanan, penternakan dan industri asas tani meliputi sebuah negeri dengan bilangan rakyat 1.2 juta berbekalkan bajet tersebut.

"Namun, strategi terus disusun bagi membangunkan ekonomi negeri berasaskan pertanian. Inilah bidang di mana majoriti rakyat Terengganu berada. Pelan strategik inilah yang menggariskan rangka kerja besar sektor pertanian negeri Terengganu," jelasnya.

Katanya lagi, akhirnya dalam tempoh setahun data dan angka telah mengiktiraf usaha tersebut. 

"Sektor pertanian telah menjadi antara penyumbang utama pertumbuhan ekonomi negeri Terengganu," tambah beliau.


Tag: