• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Sektor Pertanian Terengganu Jana Peluang Pekerjaan

KUALA TERENGGANU, 4 Oktober - Sektor pertanian sebagai sumber ekonomi negeri telah berjaya menjana peluang pekerjaan kepada rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata dalam mengembangkan ekonomi berasaskan pertanian, kerajaan santuni rakyat tempatan melalui peluang pekerjaan.

Katanya, projek berimpak tinggi sangat penting bagi menjana ekonomi dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Saya bagi contoh, bila kerajaan lulus tanah 500 hektar di Lembah Bidong Setiu kepada sebuah syarikat antarabangsa Mc Cormick untuk buat projek mega.

“Sudah pasti ada impak besar kepada ekonomi negeri dan mewujudkan peluang pekerjaan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian di sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, semalam.

Tambah Dr Azman, projek berimpak tinggi ini memerlukan modal besar ratusan juta yang tak mampu dibiayai rakyat setempat.

“Pelabur datang bawa teknologi dan modal, rakyat boleh tumpang kerja dan boleh belajar teknologi baru pertanian.

“Tentunya perjanjian yang ditandatangani Kerajaan Negeri akan ada fasa khusus untuk melindungi kepentingan rakyat dan negeri.

“Jangan risau, rakyat Terengganu tak akan hanya jadi penonton.

“Melalui perjanjian yang ditandatangani Kerajaan Negeri dan Mc Cormick bahawa paling kurang 70 peratus pekerja mestilah rakyat Terengganu," katanya.

Beliau berkata, setakat ini Mc Cormick telah mengambil seramai 280 orang pekerja dan akan meningkat kepada 393 orang tahun 2024.

"Seterusnya 462 orang menjelang 2025 sehingga mencapai 2,441 orang apabila ladang dan kilang telah beroperasi sepenuhnya.

“Sehingga kini semua pekerja samada kumpulan Pengurusan, Teknikal, Pengkeranian dan Pekerja Am adalah 100 peratus warganegara Malaysia.

"80 peratus daripadanya ialah rakyat Terengganu,” ujarnya.

 


Tag: