• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Selamatkan Lapisan Ozon Tanggungjawab Bersama

KEMAMAN, 5 Oktober - Kerajaan negeri komited melaksanakan pelbagai program sempena sambutan Hari Ozon sedunia yang disambut pada 16 September setiap tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, program ini bagi menyebar luas kesedaran dan komitmen melindungi lapisan ozon di seluruh negara.

Katanya, program-program ini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) bersama agensi-agensi yang berkaitan  bagi mewujudkan persekitaran yang sihat.

“Antara program yang berteraskan kelestarian alam sekitar telah dirancang dan dilaksanakan di negeri Terengganu seperti hari bumi, hari alam sekitar sedunia (WED), Kem Kesedaran Alam Sekitar di Tasik Kenyir dan banyak lagi.

“Program alam sekitar ini akan dijalankan secara berterusan sehingga awal November 2020 yang melibatkan semua peringkat lapisan masyarakat dengan kerjasama strategik pelbagai pihak,”katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Ozon Sedunia Peringkat Negeri Terengganu di Kelab Golf Petronas, Kertih, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri, Ramli Abd Rahman dan Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Che Ahmad Tarmizi Abd. Rahman.

Tambah Dr. Alias, penggunaan bahan kimia secara berlebihan seperti Kloroflurokarbon (CFC) dan seumpamanya adalah bahan utama dikenalpasti sebagai penyebab fenomena penipisan lapisan ozon.

”Akibat daripada tangan-tangan manusia yang mengabaikan  kesedaran mengenai kepentingan penjagaan lapisan ozon maka kesannya akan dirasai oleh semua penduduk bumi,” tegasnya.

Justeru itu, beliau berkata segala usaha yang dijalankan ini dapat menyemaikan rasa kecintaan rakyat Malaysia dalam menjaga kelestarian alam sekitar secara menyeluruh dan kesejahteraan, kualiti hidup rakyat terus terpelihara.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada urusetia dan kakitangan JAS Terengganu, Petronas Pantai Timur, agensi-agensi kerajaan serta semua pihak yang terlibat menjayakan majlis ini,” ujarnya.