• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Selenggara Flat Bijangga RM3.2 Juta Dijangka Siap Oktober Ini

Alias bersalaman dengan kakitangan yang ditemui pada lawatan  itu.

Kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM3.2 juta untuk proses penyelenggaraan  perumahan Flat Bijangga, Sura dalam tempoh kurang setahun dan dijangka siap pada Oktober ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, flat di Kampung Bijangga dibina pada 1985 mempunyai 280 buah unit rumah dengan penghuninya membayar sewa serendah RM130 hingga RM140.

Katanya, kerja penyelenggaraan melibatkan 126 unit rumah dengan skop kerja adalah menaik taraf setiap unit rumah yang terlibat.

"Kita difahamkan kerja-kerja penyelenggaraan sudah di dalam proses dan sudah pun 30 peratus berjaya disiapkan. InsyaAllah, kerja-kerja ini akan mencapai sasarannya mengikut jadual,"katanya.

Beliau ditemui selepas melakukan lawatan ke flat tersebut pada lawatan kerja ke Daerah Dungun, petang semalam.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik, Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Mohd Sharifuddin Mustafa dan wakil Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun (MPD).

Alias berkata, pihaknya dimaklumkan berkenaan kelewatan kerja menyelenggara disebabkan oleh penghuni sendiri yang mahu ditangguhkan sementara berikutan sambutan Ramadan dan persiapan Syawal.

"Saya berharap dengan penangguhan sebelum ini, kerja-kerja penyelenggaraan dapat diselesaikan mengikut jadual yang telah ditetapkan dalam memberi keselesaan kepada penduduk yang rata-ratanya sudah lama menginap di sini,"katanya.

Alias ( empat dari kiri ) bergambar bersama pegawai yang hadir selepas selesai melakukan lawatan ke perumahan tersebut

Pada lawatan itu, Alias yang juga ADUN Bukit Tunggal turut diberi penerangan berkenaan perjalanan projek tersebut.

Beliau juga berharap supaya projek tersebut dapat disiapkan mengikut masa yang telah ditetapkan agar penghuni yang terlibat dapat menikmati suasana rumah yang baru demi keselesaan mereka sekeluarga.

Katanya selepas perbincangan bersama ADUN Sura, Wan Hapandi, pihaknya akan cuba untuk membawa cadangan untuk membina lebih banyak Rumah Mampu Milik (RMM) di Sura pada masa depan.

"Kita akan membawa cadangan untuk membina lebih banyak Rumah Mampu Milik kepada rakyat dan khususnya kepada masyarakat di DUN Sura kerana isu rumah menjadi matlamat utama kami dalam membela nasib rakyat yang memerlukan,"katanya.




Tag: