• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Selepas 15 Tahun Mimpi Jadi Kenyataan

Fajri menunjukkan surat tawaran yang diterimanya.

Oleh : Ariss Alias

SETIU, 27 Ogos - Hasrat untuk memiliki tanah sejak 15 tahun yang lalu akhirnya tercapai buat seorang penduduk di sini apabila menerima borang 5A, Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) semalam.

Mohd Fajri Mohd Nor, 45, ternyata tidak dapat menyembunyikan rasa gembira dan terkejut ketika menerima tanah berkenaan dalam penyerahan di Sungai Tarom yang disampaikan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Dia yang sepatutnya menerima borang itu bagi RTB Kampung Rahmat digugurkan nama selepas berlaku pertukaran kerajaan pada tahun 2004.

“Saya rasa seperti bermimpi kerana perkara ini sudah lama tiada khabar dan saya memang tidak menaruh apa-apa harapan lagi untuk memiliki tanah.

Peserta yang menerima tanah perumahan dan pertanian.
“Jujurnya saya tidak percaya apabila saya diserahkan surat untuk menerima borang 5A pada hari ini, terima kasih diucapkan kepada kerajaan negeri kerana menunaikan janji manifesto,” ujarnya ketika ditemui petang semalam.

Sementara itu, bagi penerima borang RTB Delor, Abdul Ghani Muhammad, 69 berkata, dia sangat terharu dengan komitmen kerajaan negeri untuk mengembalikan semula tanah yang ditarik lebih satu dekad dahulu.

“Hari ini salah satu hari paling gembira dalam hidup saya. Impian memiliki secebis harta untuk diri sendiri akhirnya termakbul.

Dalam pada itu, menurut Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap, Azmi Maarof memaklumkan daripada 503 penerima di Daerah Setiu seramai 117 penerima berada dalam DUN tersebut yang melibatkan empat RTB.

Ia melibatkan sebanyak 413 lot tapak rumah dan 90 lot pertanian telah diberikan kepada penduduk sekitar Setiu.

“Saya mewakili semua peserta yang terkilan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana melanjutkan tempoh permohonan RTB terkilan yang sepatutnya tamat pada 31 Ogos ini kepada 31 Disember 2019,” tambah beliau.

Azmi Maarof.



Tag: