Selesai Lantikan JPKK Menjelang Tahun Baharu

BESUT, 10 November – Kerajaan Terengganu menyasarkan lantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) diselesaikan menjelang tahun baharu 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, berikutan itu senarai cadangan keanggotaan JPKK perlu disiapkan selewat-lewatnya akhir bulan ini.

"Berbaki lebih kurang tiga minggu lagi untuk kita menyiapkan senarai. Akhir bulan 11 ini akan diangkat ke Pejabat Daerah yang juga memerlukan masa dalam tempoh sekitar 10 hari. Maknanya 10 Disember ini, senarai cadangan daripada Pejabat Daerah khususnya di Besut akan diangkat ke Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK). Seterusnya, pelantikan akan dibuat oleh pihak berkuasa melantik iaitu Menteri Besar.

"Makluman kekosongan ini akan dimaklumkan segera. Jadi ambillah perhatian terhadap jangka masa yang telah ditetapkan. Semoga menjelang 1 Januari 2021 kita boleh memberikan watikah pelantikan dan boleh memulakan tugas menjelang tahun baru. 

"Saya mengharapkan setiap Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) serta Pejabat Pegawai Penyelaras DUN boleh mengambil tindakan yang sepatutnya agar kita tidak terlewat daripada waktu yang ditentukan. 

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Taklimat JPKK kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Daerah Besut di Kota Putera Square semalam.

Mengulas lanjut, kerajaan negeri mengesyorkan agar perbincangan dengan parti PN diadakan bagi mencadangkan calon-calon mengikut beberapa kriteria yang perlu dipatuhi.

"Kita tidak tentukan bagaimana bentuk perbincangan yang mesti dibuat. Namun, biarlah berdasarkan kepada kesesuaian dan situasi setempat.

"Antara syaratnya ialah mestilah warganegara Malaysia, berumur di antara 21 tahun sehingga 65 tahun, penduduk tetap, tidak muflis, tiada rekod atau sabitan terlibat dalam mana-mana kes jenayah, sihat mental dan fizikal, bebas dari penyalahgunaan dadah, aliran pemikiran dan daya kepimpinan yang boleh diterima oleh masyarakat dan seterusnya mengamalkan nilai integriti dan kepimpinan yang berwibawa.

"Bagi jawatan pengerusi dan setiausaha disyaratkan agar tiada pertalian keluarga. Syarat-syarat ini mesti digunapakai oleh semua parti dan syarat-syarat tambahan telah ditetapkan daripada masa ke semasa berdasarkan kepada keperluan." katanya. 

Walau bagaimanapun jelasnya, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mempunyai kuasa untuk memberikan pengecualian kepada calon-calon yang tidak menepati syarat-syarat.


Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, prestasi MPKK Terengganu dalam tempoh dua tahun lebih berkhidmat ini agak terkedepan.

"Saya yakin sebahagian besar daripada MPKK yang sedia ada boleh dikekalkan untuk meneruskan khidmat paling paling kurang dalam tempoh dua tahun lagi nanti," tambah beliau