• 30 Nov 2020 | 14 Rabiul Akhir 1442

Selesaikan Masalah Pembinaan Rumah PR1MA Di Rantau Abang

KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun mendesak supaya kerajaan menyegerakan pembinaan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) seperti yang dijanjikan sebelum ini kerana sudah tertangguh sekian lama.


Menurut beliau, dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) 2016 telah dimaklumkan bahawa projek PRIMA akan dibina di Rantau Abang.


“Malangnya sehingga ke hari ini belum menjadi kenyataan dan kemungkinan ia masih dalam perancangan.


“Diharapkan pihak kerajaan dan agensi berkaitan menyegerakan pembinaannya kerana ia terlalu lama tertangguh sedangkan tapaknya sudah ada,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Ke Bawah DYMM Sultan Terengganu pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.


Sementara itu, Alias merakamkan ucapan penghargaan kepada kerajaan negeri atas usaha memenuhi keperluan rakyat khususnya golongan B40 di Terengganu berkait dengan perumahan untuk rakyat .


“Tahniah kepada kerajaan negeri kerana memperkenalkan dasar perumahan patuh syariah, yang mana ini suatu yang perlu kita tonjolkan kepada umum bahawa kita betul-betul melaksanakan perintah Allah supaya sesiapa saja yang mendapat rumah sekurang-kurangya ada tiga bilik.


“Terima kasih juga kerana berusaha merealisasikan janji untuk membina sebanyak 20,000 unit rumah menjelang 2022 walaupun ketika ini sesetengahnya masih dalam pembinaan dan perancangan tetapi diharapkan ia disegerakan demi kepentingan rakyat,” ujarnya.
 


Tag: