• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Semarak Hubungan Antara Pelbagai Kaum

DUNGUN, 12 Oktober - Amalan berbuat baik terhadap bangsa lain yang terdapat di negara kita seharusnya dijadikan sebagai satu budaya yang perlu dipraktikkan agar hubungan antara kaum lebih erat.

Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, kepelbagaian agama, etnik dan budaya di Malaysia yang unik menuntut rakyatnya agar sentiasa berbuat baik dikalangan satu sama lain bagi menjamin keharmonian negara ini selain dapat mencerminkan keperibadian Islam terhadap penganut agama lain.

"Berbuat baik adalah satu daripada dasar Islam dalam hubungan etnik. Islam mengajar kita untuk berbuat baik sesama manusia kerana semuanya berasal daripada manusia pertama iaitu Nabi Adam.

"Islam juga memerintahkan manusia untuk berbuat baik dan adil kerana ia menjadi dasar utama dalam berinteraksi antara seorang muslim dengan orang bukan Islam yang lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi warga Tionghua di sekitar Kuala Dungun.

Program ziarah yang diatur oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Penaga itu turut disertakan dengan sumbangan kewangan selain beramah mesra bertanyakan status kesihatan para penduduk Cina yang diziarah.

Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa keunikan masyarakat majmuk yang ada di negara kita turut menyebabkan kita tidak terkecuali daripada menjadi tarikan para pelancong untuk mempelajari budaya rakyat di sini.

" Oleh itu, memang tidak dinafikan bahawa perpaduan antara kaum adalah satu faktor yang amat penting untuk Malaysia bagi mencapai status negara maju selain memacu kepada kepesatan pembangunan dan ekonomi negara," ujarnya lagi.


Tag: