• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Semarak Merdeka, ADUN Manir Edar Jalur Gemilang

HULU TERENGGANU, 30 Ogos - Semarak Merdeka sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini, Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Manir mengedarkan 1,000 bendera Malaysia secara 'Drive Thru' kepada warga setempat, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Dato' Harun berkata, ia bukan saja untuk menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021 tetapi juga membangkitkan kesedaran rakyat terhadap jasa dan pengorbanan orang terdahulu berjuang memerdekakan negara.

"Kemerdekaan tanah melayu ini perlu diingati, semangat penentang penjajah oleh para pejuang, negarawan serta ulama' perlu dikenang.

“Rakyat di semua peringkat perlu menunjukkan semangat patriotik dan cintakan negara melalui pengibaran Jalur Gemilang sebagai lambang kebebasan serta kemajuan yang sudah dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika selesai program Semarak Merdeka dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat DUN Manir hadapan pejabat PKM di kampung Kubang Lembek.

Dalam pada itu, PKM turut membahagikan jalur gemilang kepada seluruh 23 JPKK di DUN Manir untuk menghiasi premis-premis dan balairaya di tempat masing-masing.

“Walaupun kini kita berada dalam suasana pandemik Covid-19, usaha mengibarkan Jalur Gemilang ini adalah bagi menghargai keprihatinan, kesungguhan dan ketabahan warga Malaysia mengharungi cabaran dan dugaan wabak Covid-19 yang melanda,” jelas Hilmi.