• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Semarakkan Bulan Kemerdekaan, Kibarkan Jalur Gemilang

KUALA TERENGGANU, 29 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi menyeru orang ramai untuk mengibarkan Jalur Gemilang bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan ke 64.

“Walaupun kita masih lagi berdepan dengan wabak COVID-19, namun kita bersyukur kepada Allah SWT atas nikmat kemerdekaan yang diberikan kepada negara kita.  

“Kita mendoakan semoga para pejuang tanah air yang telah berkorban sehingga negara kita mencapai kemerdekaan agar roh mereka dirahmati oleh Allah SWT,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemu bual pemberita dalam program Kempen Semarak Jalur Gemilang Peringkat DUN Batu Buruk yang diadakan di hadapan pejabat Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk, semalam.

Dalam program berkenaan, sebanyak 1600 helai bendera Jalur Gemilang telah diagihkan kepada pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan orang ramai dalam Kempen Semarak Jalur Gemilang Peringkat DUN Batu Buruk.

Tambahnya, sambutan Bulan Kebangsaan penting bagi mengingati peristiwa dan pengorbanan pejuang kemerdekaan negara. 

“Saya berharap agar generasi pada hari ini dapat mengisi kemerdekaan negara kita supaya terus aman, makmur dan sejahtera sentiasa,”katanya.