• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Sembilan Beranak Besyukur Terima Bekalan Air Bersih

DUNGUN, 21 Oktober-"Keluhan kami berhubung kesukaran mendapatkan bekalan air bersih terus ke rumah mendapat perhatian segera Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Gong Beting," kata Mohd Nor Hadi Ishak, 36, yang menetap bersama isteri dan tujuh anaknya di kampung itu.

Menurutnya, pihak MPKK Gong Beting bersama dengan Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka dan Syarikat Air Terengganu (SATU) telah mengambil inisiatif membina saliran paip air bersih secara bergotong-royong untuk menyelesaikan masalah yang telah lama membelenggu mereka sembilan beranak. 

"Alhamdulillah, syukur kepada Allah dan terima kasih kepada Pusat khidmat Masyarakat ADUN Paka, SATU, MPKK Gong Beting dan penduduk kampung  yang turun mengerahkan tenaga bergotong-royong membina saliran air bersih ke rumah saya," ujarnya kepada pemberita.

Sebelum ini, mereka sekeluarga terpaksa menggunakan air telaga sejauh 20 meter dari rumah untuk membersihkan diri dan membasuh pakaian.

Saya, isteri dan tujuh anak kami yang berusia antara dua hingga 13 tahun terpaksa menggunakan air telaga mandi dan kegunaan lain, hari-hari saya mengangkat air dari telaga itu untuk dibawa balik ke rumah,” katanya.

Mohd Nor Hadi berkata, telaga berkenaan akan keruh kekuningan jika airnya berkurangan. 

“Air telaga itu saya tidak buat minum kerana risau akan keracunan. Saya akan menadah air tapis mesin di kedai runcit yang berdekatan untuk dibuat minum.

"Alhamdulillah, selepas ini kami tidak lagi perlu menggunakan air telaga, terima kasih kepada semua yang membantu," ujarnya.

 


Tag: