• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Sembilan Pelajar Cemerlang Dihantar ke Tunisia

KUALA TERENGGANU, 10 September- Seramai sembilan pelajar berjaya dihantar ke Universiti Ez- Zitouna, Tunisia bagi menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi melalui tajaan Yayasan Terengganu.

Pengarah Yayasan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, lima pelajar lelaki dan empat pelajar perempuan terbabit mendapat tajaan sebanyak RM18,000 setahun untuk setiap orang bagi tempoh pengajian selama empat tahun peringkat ijazah pertama di universiti tertua dunia itu dalam bidang pengajian Islam.

“Mereka telah terpilih sebagai penerima sulung Skim Pinjaman Boleh Ubah Yayasan Terengganu yang ditawarkan untuk melanjutkan pengajian ke Tunisia bagi tahun 2023.

“Kesemua pelajar telah berangkat ke Tunisia pada 9 September (semalam) dengan diiringi Penolong Kanan Pengarah Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu, Dr Hazwan Abdul Rahman,” ujarnya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

Beliau berkata, dengan adanya Skim Pinjaman Boleh Ubah itu diharap membantu pelajar golongan B40, M40 dan juga masyarakat luar bandar terutamanya anak Negeri Terengganu melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.

“Dengan tahap pendidikan yang baik sudah tentu dapat menghasilkan pelajar yang berjaya seterusnya dapat menyumbang jasa dan bakti kepada negeri dan negara apabila mereka menamatkan pengajian nanti,” katanya.

Difahamkan, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad  Samsuri Mokhtar serta rombongan telah mengadakan lawatan rasmi ke universiti tersebut pada Mac tahun lalu.

Susulan lawatan itu, satu perjanjian persefahaman (MoU) telah dijalin antara kerajaan negeri dan Universiti Ez Zitouna bagi membolehkan pelajar cemerlang Terengganu dapat melanjutkan pengajian di universiti ternama itu.